Monday, 19 March 2012

"UMS" Dalam Era Globalisasi Dan Pembangunan


    
                                             Bangunan Pentadbiran Universiti Malaysia Sabah




Era globalisasi dan pembangunan memerlukan kita untuk berfikir secara menyeluruh bagi menghadapinya.

Globalisasi dan pembangunan merupakan suatu pencapaian besar manusia dimana bumi yang luas mampu 

dikecilkan dengan adanya kemudahan-kemudahan yang canggih dan moden. Walau bagaimanapun,

globalisasi dan pembangunan di setiap kawasan adalah tidak sekata. Hal ini memerlukan setiap institusi

pemerintah serta masyarakat di sesebuah kawasan harus ada ketersediaan. Kombinasi antara pelbagai

organisasi haruslah ditingkatkan agar pembangunan dan globalisasi yang dicapai pada masa kini akan lebih 

bersifat positif dan bukannya mendatangkan kesan yang buruk.

   Jika kita meninjau ketersediaan masyarakat di negeri Sabah mengenai era globalisasi dan pembangunan, sudah tentu peranan Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah penting kerana ianya merupakan pusat akademik di negeri Sabah. UMS dilihat sebagai kampus yang mampu melahirkan graduan yang berkualiti. Walau bagaimanapun, peranan utama UMS dalam memartabatkan dan mengangkat ilmu serta maklumat geografi dalam era globalisasi dan pembangunan boleh dilihat dalam empat domain pemikiran iaitu kewilayahan geografi, sistem masyarakat, sistem ekonomi dan sistem pemikiran.
Domain 1: Kewilayahan Geo
Dalam aspek domain kewilayahan geografi, negeri sabah sebagai negeri yang terletak di kepulauan borneo merupakan antara negeri yang kaya dengan kepelbagaian biodiversity. Ianya merupakan tarikan kepada ramai pelancong. Walau bagaimanapun, ianya akan lebih berkembang sekiranya penyelidikan dan pembangunan di negeri ini dilakukan. Hal ini melibatkan peranan UMS dalam mengembangkan penyelidikan. Hasil-hasil penyelidikan akan dapat diterbitkan dengan lebih banyak di negeri ini. Dengan adanya sebuah portal yang mampu memuatkan hasil-hasil terbitan penyelidikan yang dilakukan maka maklumat akan lebih tersebar luas ke serata dunia mengenai negeri sabah disamping akan mengangkat UMS terutamanya Sains Sosial di mata dunia.
Domain 2: Sistem Masyarakat
Negeri sabah merupakan negeri yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat yang datang daripada rumpun-rumpun yang berbeza. Keunikan ini disebabkan oleh sejarahnya yang tersendiri. Dalam era globalisasi dan pembangunan, peranan UMS terutamanya bidang Sains Sosial dalam melakukan penyelidikan terhadap sistem masyarakat di negeri ini adalah sangat penting. Kajian terhadap kemasyarakatan di negeri Sabah penting bagi memartabatkan serta menyelidik sejarah dan asal usul setiap lapisan masyarakat di negeri ini. Kaitan antara masyarakat di negeri Sabah dan pembangunan yang dicapai di negeri ini boleh dikupas melalui penyelidikan yang dilakukan bagi mengangkat martabat masyarakat negeri Sabah.
Domain 3: Sistem Ekonomi
Sistem ekonomi di negeri Sabah mempunyai sejarahnya yang tersendiri. sistem ekonomi saradiri merupakan kegiatan utama masyarakat di negeri Sabah suatu ketika dahulu. Sistem ekonomi yang diamalkan pada masa lalu di negeri Sabah berbeza dengan apa yang dimiliki dan dicapai di negeri Sabah pada hari ini. Era globalisasi dan pembangunan memerlukan masyarakat negeri Sabah memiliki ketersediaan untuk menghadapinya. Dalam hal ini, peranan UMS adalah penting dalam menerbitkan bahan-bahan terbitan yang berkaitan dengan sistem ekonomi di negeri Sabah. Ahli-ahli ekonomi UMS haruslah memainkan peranan dalam elakukan penyelidikan dan penerbitan mengenai sistem ekonomi di negeri Sabah.
Domain 4: Sistem pemikiran
Secara amnya, sistem pemikiran masyarakat asia tenggara saling berkaitan dengan faktor kosmologi dan keagamaan. Di asia tenggara, pengaruh agama memainkan peranan penting dimana terdapat evolusi keagamaan daripada hindu, buddha, islam dan sekular. Untuk melihat sistem pemikiran masyarakat di asia tenggara terutamanya di negeri Sabah, pemahaman terhadap pelbagai sapek perlu ditekankan. Peradaban sistem pemikiran secara amnya boleh di lihat dari tiga aspek peradaban iaitu, kosmologi dan spiritual, tradisi intelektual dan sosial. Hal ini termasuklah aspek budaya, bahasa, keagamaan dan sebagainya. Daripada aspek bahasa, penyelidikan perlu dilakukan berlandaskan konsep linguistik. Peranan UMS adalah penting dalam memartabatkan bahasa di negeri Sabah agar bahasa yang ada di negeri ini tidak lenyap dalam era globalisasi dan pembangunan sepertimana pada masa kini. Dari aspek keagamaan di negeri sabah juga perlu dikaji dengan lebih teliti. Hal ini kerana kepelbagaian agama yang dianuti oleh pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini memerlukan persefahaman. Peranan UMS penting dalam mencapai kesefahaman antara agama di negeri ini dengan melakukan penyelidikan. Untuk memartabatan sistem keagamaan yang ada di negeri ini, pihak UMS perlu menyelidik dengan lebih saintifik mengenai aspek keagamaan di negeri Sabah.
Oleh hal yang demikian, peranan UMS dalam mengangkat ilmu dan maklumat berlandaskan ilmu geografi di negeri Sabah adalah penting dalam era globalisasi dan pembangunan seperti pada masa kini. Dengan adanya portal seperti ‘ilmusabah.com’ maka, segala bahan-bahan terbitan daripada UMS akan dapat disebarkan ke serata dunia yang mana ianya akan mengangkat martabat negeri Sabah amnya dan UMS khususnya.

No comments:

Post a Comment