Saturday 17 March 2012

Hakisan Tebing Sungai



Sungai merupakan sumber alam yang penting untuk mengalirkan air dan enapan dari kawasan tadahannya ke lautan. Sungai juga penting dalam kehidupan manusia dari segi sosial dan ekonomi. Kebanyakan petempatan manusia tertumpu di sepanjang tebing sungai. Hal ini disebabkan oleh kepentingan sungai dari aspek pengangkutan dan perhubungan. Disamping itu, sungai juga merupakan punca penduduk untuk mendapatkan sumber makanan, bekalan air bersih dan menyediakan tanah yang subur untuk pertanian. Di Malaysia, terdapat kira-kira 150 sistem sungai bagi Semenanjung Malaysia dan 50 sistem sungai di Sabah dan Sarawak (Sahrul, 2010). Tumpuan penduduk di sepanjang tebing sungai telah menyebabkan proses semulajadi sungai iaitu hakisan tebing sungai telah meningkat. Pembangunan yang pesat dengan kepelbagaian gunatanah meningkatkan lagi keberkesanan proses hakisan tebing sungai. 
Gambar 1: Menunjukkan proses hakisan yang giat berlaku di Sungai Tuaran, Sabah.
   
   Hakisan merupakan suatu fenomena semulajadi yang berlaku pada sistem sungai. Hakisan melibatkan proses air yang mengalir, angin, ais, atau lain-lain agen geologi yang menghakis permukaan tanah. Ia mengurangkan keupayaan tanah untuk menyokong kehidupan tumbuhan dan jika dibawa cukup jauh, secara literal boleh menjejaskan keupayaan petani untuk meningkatkan pengeluaran makanan (Crosson, 1997). Hakisan sering berlaku di kawasan yang beriklim khatulistiwa. Kawasan yang beriklim khatulistiwa mempunyai purata 27°c lembap dan penerimaan hujan yang banyak sepanjang tahun iaitu pada purata 2600mm. Walau bagaimanapun, corak tiupan angin bermusim bersama sifat topografi lokal menentukan corak taburan hujan di Malaysia. Semasa musim timur laut, kawasan yang terdedah seperti kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, kawasan Sarawak Barat dan kawasan pantai timur laut Sabah mengalami beberapa tempoh hujan lebat. Sebaliknya, kawasan pendalaman atau kawasan yang dilindungi banjaran gunung adalah secara relatifnya bebas dari pengaruh ini (Malaysia, 2010).
   Terdapat dua faktor hakisan tebing sungai berlaku iaitu hakisan yang disebabkan oleh aktiviti manusia dan hakisan yang disebabkan oleh faktor semulajadi. Aktiviti manusia seperti pembukaan petempatan, pertanian, penternakan, pembinaan kemudahan awam, kegiatan pemotongan cerun, dan pengambilan pasir sungai meningkatkan keberkesanan hakisan pada tebing sungai. Hal ini bertambah rumit apabila penduduk setempat tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan sungai. Faktor semulajadi hakisan tebing sungai melibatkan kekerapan berlakunya hujan, jenis tumbuhan tebing sungai, jenis tanah, bahan muatan sungai dan kelajuan aliran sungai.

   Hakisan tebing sungai yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk terhadap penduduk setempat. Hakisan tebing sungai menyebabkan kerosakan tanaman, menjejaskan ekonomi penduduk, menyebabkan pengecilan saiz tanah persendirian, kerosakan hatra benda penduduk dan kemudahan awam serta menjejaskan kawasan penternakan. Selain itu, hakisan tebing sungai juga mendatangkan kesan buruk kepada sistem sungai itu sendiri seperti kemerosotan kualiti sungai, perubahan profil sungai, menjejaskan ekologi sungai, pemendapan dan menyebabkan perubahan topografi setempat.

Kaedah kawalan hakisan tebing sungai sangat penting dalam mengelakkan risiko terhadap penduduk dan sistem sungai itu sendiri. Pemeliharaan sungai penting dalam menjamin ianya berkekalan dan akan dapat dirasai oleh generasi yang akan datang. 

No comments:

Post a Comment